Sindiket kumpul minyak masak subsidi tumpas, enam termasuk lima warga asing ditahan

KEGIATAN penyelewengan barangan subsidi iaitu minyak masak yang dikumpul sebelum dijual semula terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu dua stor di Bandar Pinggiran Subang dan Jalan Bakti, di Shah Alam kelmarin.

Dalam serbuan itu, sindiket terbabit yang didalangi warga tempatan dikesan mengupah pekerja warga asing untuk menjalankan kegiatan haram memotong peket minyak masak dan mengumpul bahan subsidi itu secara besar-besaran.

LIMA pekerja warga asing yang ditahan dalam serbuan KPDN terlibat sindiket kumpul minyak masak subsidi dalam serbuan Rabu lalu, dibawa untuk perintah reman di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua premis itu dijadikan lokasi penyimpanan minyak masak peket bersubsidi yang dipercayai disorokkan.

Beliau berkata, pekerja warga asing diupah untuk memotong peket minyak masak sebelum dipindahkan ke dalam tangki khas untuk dijual semula kepada pemborong minyak masak terpakai.

SALAH satu stor menyimpan minyak masak subsidi yang diserbu KPDN dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Bandar Pinggiran Subang dan Jalan Bakti, Shah Alam Rabu lalu. GAMBAR: KPDN

“Modus operandi itu dipercayai bertujuan memperoleh keuntungan dengan menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.

“Siasatan awal turut mendapati pengendali premis gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual.

“Pasukan serbuan menyita kira-kira 6,426 kilogram minyak masak peket bersubsidi, 13 unit tangki IBC, empat tangki simpanan, enam tong dram, tiga pam elektrik dan corong, hos penyambung, sebuah lori rigid, peralatan memotong bungkusan minyak masak, kotak pembungkusan serta beberapa unit telefon bimbit,” katanya semalam.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM129,874.50.

Katanya, enam individu berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan membabitkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu atau syarikat lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan ini,” katanya.

Azman berkata, sejak Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dilancarkan pada 16 Mac lalu, KPDN merekodkan 137 kes penyelewengan minyak masak dengan rampasan sebanyak 165,568 kilogram bernilai RM615,936.02.

Menurutnya, Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 36 kes dengan nilai rampasan RM72,265.46, manakala KPDN Putrajaya mencatat kuantiti rampasan terbesar sebanyak 55,445 kilogram menerusi empat kes.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img