Sindiket penipuan antarabangsa tumpas, 29 warga asing ditahan, diupah RM8,000 sebulan

POLIS  Pulau Pinang menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa yang menyasarkan mangsa terutama di China dan Kemboja, selepas menahan 29 warga asing dalam siri serbuan di tiga buah banglo yang dijadikan pusat panggilan, di Barat Daya dekat sini 22 Sept.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang itu menjalankan tiga serbuan, sebelum menahan 19 warga China dan 10 warga Kemboja yang kesemuanya berusia 20 hingga 63 tahun, dipercayai terlibat sindiket penipuan dalam talian menggunakan modus operandi “gores dan menang”.

“Dalam serbuan pertama di Teluk Kumbar, telah membawa kepada penahanan 14 lelaki warga China yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri, manakala serbuan kedua di kawasan sama menahan tujuh suspek terdiri daripada tiga lelaki warga China, seorang lelaki warga Kemboja dan tiga wanita warga Kemboja.

“Seterusnya serbuan ketiga di Solok Bukit Belah, Bayan Baru pula berjaya menahan lapan suspek terdiri daripada dua lelaki warga China dan enam wanita warga Kemboja, kesemua warga asing yang ditahan dalam serbuan kedua dan ketiga mempunyai pasport serta ada dalam kalangan mereka pernah masuk ke Malaysia sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontijen Pulau Pinang George Town hari ini, lapor Bernama.

Lim berkata siasatan awal mendapati, sindiket itu dipercayai telah menjalankan kegiatan tersebut selama kira-kira dua hingga tiga bulan, dengan menyewa setiap banglo dengan harga RM10,000 sebulan dan mengubah suai premis berkenaan sebagai pusat panggilan.

Beliau berkata siasatan juga mendapati semua suspek yang ditahan dipercayai memperoleh upah sehingga RM8,000 sebulan dan sindiket tersebut, menjalankan penipuan menggunakan platform media sosial termasuk Facebook Live dan aplikasi LINE, dengan menyasarkan mangsa di China serta Kemboja.

Lim berkata mereka menawarkan kad “Scratch and Win” kepada mangsa, sebelum meyakinkan mereka bahawa telah memenangi hadiah wang tunai sehingga USD2 juta dan mangsa kemudian diarahkan membuat bayaran melalui kod QR bagi caj pemprosesan, cukai dan insurans sebelum hadiah boleh dituntut.

“Mereka akan membuat siaran langsung dan menawarkan kad gores menang dan selepas mangsa membuat bayaran menerusi QR, mengikut pelbagai jumlah ditetapkan berdasarkan hadiah wang yang kononnya dimenangi tidak diterima dan duit berkenaan juga tidak dapat dikeluarkan,” katanya.

Lim berkata semakan awal mendapati, kod QR yang digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa dipercayai didaftarkan di Kemboja, namun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung aliran wang dan pihak yang terlibat.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas lebih 200 telefon bimbit, 17 komputer riba, dua komputer meja, enam set modem atau router, serta pelbagai dokumen dan rekod pelanggan serta turut dirampas ialah kad gores dan menang, dokumen lesen atau pengesahan yang disyaki palsu serta peralatan studio dan komunikasi yang dipercayai digunakan bagi menjalankan operasi penipuan berkenaan.

“Sebahagian daripada suspek yang ditahan juga didapati tidak memiliki pasport manakala kesemua suspek dipercayai tinggal di banglo berkenaan selain menjalankan operasi penipuan dari premis sama, dipercayai tiga serbuan tersebut adalah sindiket yang sama dan kami sedang mengesan dalang utama rangkaian tersebut,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini masih dalam reman sehingga 13 Okt dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here