KEGIATAN penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar menerusi serbuan di beberapa lokasi termasuk rumah yang dipercayai dijadikan transit dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di daerah Sabak Bernam kelmarin.
Operasi Pintas yang bermula kira-kira jam 10 malam itu menyerbu beberapa lokasi iaitu perairan Sekinchan, Dataran Pantai Redang Sekinchan, dua buah rumah di Jalan Parit 8 Timur, Sungai Besar dan Jalan Parit 1 Barat, Sungai Besar.

Serbuan dijalankan pegawai dan anggota D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu menahan seramai 12 individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan berbangsa Cina serta 11 warga Indonesia, termasuk seorang wanita.
Turut dirampas, sebuah bot kayu berlesen B, enam unit telefon bimbit dan sebuah buku lesen vesel bot bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, kegiatan penyeludupan migran itu dipercayai didalangi warga Indonesia dengan migran dibawa menggunakan khidmat transporter ke lokasi pengumpulan di sekitar Sekinchan sebelum dihantar ke rumah transit.
“Migran kemudian dibawa ke jeti yang ditetapkan sindiket sebelum dipindahkan menggunakan bot nelayan ke tengah laut untuk dipindahkan ke bot yang lebih besar dari Indonesia.
“Bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, sindiket hanya membawa seorang atau dua migran bagi setiap perjalanan bot, manakala migran diarahkan mengaku sebagai awak-awak bot nelayan sekiranya ditahan.
“Sindiket dipercayai menggunakan jeti nelayan di sekitar Sekinchan sebagai laluan penyeludupan dengan mengenakan bayaran RM1,500 bagi setiap migran dan dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira dua bulan lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan migran supaya menghubungi Hotline Polis Selangor di talian 03-2052 9999 bagi menyalurkan maklumat.






