12 ditahan dalam serbuan dua pusat panggilan ‘scammer’ di Melaka

DUA pusat panggilan yang dipercayai baru memulakan operasi penipuan pelaburan tidak wujud ditumpaskan dalam serbuan polis di lokasi berasingan di Taman Krubong Perdana, Melaka pada Selasa lalu.

Operasi dijalankan awal pagi itu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kontinjen Melaka berjaya menahan 12 individu, termasuk 10 warga China selepas dua banglo dua tingkat yang dijadikan pusat operasi sindiket diserbu dalam tempoh selang 30 minit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua sindiket berkenaan dipercayai berkait antara satu sama lain berdasarkan modus operandi digunakan dan dipercayai mula beroperasi sejak awal bulan ini.

“Polis percaya sindiket ini masih berada pada peringkat awal operasi dan belum sempat memperoleh keuntungan sebelum kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Serbuan pertama jam 2.30 pagi berjaya menahan enam individu berusia 23 hingga 43 tahun terdiri lima lelaki China dan seorang lelaki tempatan. Kira-kira 30 minit kemudian, polis menyerbu sebuah lagi premis berhampiran.

“Di premis kedua, polis menahan enam lagi individu berusia 27 hingga 47 tahun terdiri lima lelaki China serta seorang wanita tempatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kedua-dua premis menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan iaitu 12 set komputer, 12 telefon bimbit serta dua set modem dan router bernilai kira- kira RM40,000.

“Hasil analisis oleh pakar media sosial PDRM mendapati sindiket menggunakan platform pelaburan tidak wujud dikenali sebagai ‘Dong Fang Cai Fu’ melalui pautan estmoney.com yang dipercayai menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China.

“Siasatan juga mendapati semua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menghubungi pelanggan sasaran menerusi aplikasi MiChat sebelum menawarkan pakej pelaburan kononnya memberi pulangan lumayan,” katanya.

Halim berkata, mangsa yang berminat akan diarahkan membuat bayaran ke akaun ditetapkan sebelum wang berkenaan diuruskan oleh ahli sindiket lain yang masih bebas.

Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua 12 suspek direman sehingga 23 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut termasuk peranan dua warga tempatan yang dipercayai memudah cara bagi penggunaan peralatan dan kemudahan untuk ahli sindiket,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img