Siti Asiah dilantik Ketua Perangkawan yang baharu

KEMENTERIAN Ekonomi hari ini mengumumkan pelantikan Siti Asiah Ahmad sebagai Ketua Perangkawan ke-10 berkuat kuasa hari ini.

Siti Asiah, 51, mempunyai pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti sejak memulakan perkhidmatan sebagai Perangkawan pada 1998.

Sebelum dilantik, beliau menyandang jawatan Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi) dan bertanggungjawab menerajui penyediaan statistik utama negara, termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Pelantikan Siti Asiah mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai supaya kerajaan dapat bertindak lebih awal dan menyasarkan intervensi dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang perkhidmatan, Siti Asiah turut terbabit dalam pelbagai inisiatif strategik negara termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama, penyediaan statistik kos sara hidup dan pengukuhan Sistem Statistik Negara.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), selain kepakarannya diiktiraf menerusi penglibatan dalam kumpulan kerja statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan organisasi antarabangsa berkaitan.

Kementerian Ekonomi turut mengumumkan pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial dan Pembangunan Teknikal) serta Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi).

Pelantikan Siti Asiah adalah bagi menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang bersara wajib pada 8 Julai lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img