
KOS baja di Malaysia diunjurkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus susulan krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat, sekali gus dijangka memberi tekanan kepada sektor pertanian dan harga makanan negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan penilaian semasa memandangkan 63 peratus keperluan baja negara masih bergantung kepada sumber import.
Menurutnya, selain baja, kos makanan ternakan turut diunjurkan meningkat sekitar lapan peratus akibat kenaikan kos logistik dan input pertanian.
“Kerajaan memberi perhatian khusus kepada keterjaminan bekalan barangan keperluan, kawalan harga barangan asas dan peningkatan kecekapan saluran pengedaran bagi mengurangkan kesan kenaikan harga kepada rakyat.
“Kerajaan turut memperkenalkan langkah intervensi bagi menjamin serta memanjangkan ketersediaan bekalan, antaranya memastikan kesinambungan bekalan baja negara melalui pengukuhan kerjasama strategik dengan negara lain termasuk daripada Australia,” katanya ketika sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran sejak 27 Februari lalu turut memberi tekanan kepada pelbagai sektor termasuk logistik, penerbangan, perkapalan, pertanian, pembuatan, pembinaan dan perdagangan.
Beliau menjelaskan, industri kini berdepan lonjakan kos bahan api, kelewatan penghantaran input perantara, peningkatan kos inventori serta cabaran mendapatkan sumber bekalan alternatif.
Malah menurutnya, kos pengangkutan global meningkat hampir dua kali ganda, manakala premium insurans kapal dagang di laluan berisiko melonjak sehingga 16 kali ganda bagi satu perjalanan.
“Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) lebih terdedah kepada tekanan ini kerana ruang kewangan mereka terhad berbanding firma besar.
“Apabila kos meningkat secara mendadak, aliran tunai mereka lebih cepat terjejas,” ujarnya.






