MINDEF ambil tindakan drastik tangani isu integriti…sesiapa pun tidak akan dilindungi

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) sedang mengambil tindakan drastik untuk memerangi segala kegelinciran integriti dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan diambil tidak akan membezakan sesiapa, daripada yang berpangkat paling tinggi hingga paling bawah.

Tegas beliau, mereka akan kehilangan kehormatan sebagai seorang pahlawan jika didapati bersalah.

“Mereka yang dihadapkan dengan pertuduhan jenayah, kita serahkan kepada sistem keadilan negara untuk memutuskan dengan adil.

“Bagi kes membabitkan kegiatan tidak bermoral, seperti budaya hedonisme dan salah laku pentadbiran, mahkamah ATM akan mengadili mereka. Apa yang nyata, MINDEF tidak akan melindungi sesiapa,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Khamis lalu dengan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Sehari selepas itu, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar turut didakwa di mahkamah sama membabitkan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

Mohamed Khaled berkata, MINDEF akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan bebas, telus dan berkesan.

Katanya, SPRM juga diberikan ruang seluas-luasnya untuk mengambil tindakan dan beliau sendiri sudah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya itu, Tan Sri Azam Baki minggu lalu.

“Saya memberi jaminan, saya dan seluruh MINDEF berdiri bahu membahu dengan SPRM untuk membasmi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa di kementerian dan ATM.

“Usaha mengembalikan wibawa dan kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM adalah keutamaan terpenting Kerajaan MADANI dan MINDEF.

“Tindakan mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terbabit jauh daripada mencukupi. Ia tidak sama sekali akan menjadikan kementerian ini suci dan bersih,” katanya.

Mohamed Khaled memaklumkan, beliau juga memperincikan langkah kementerian untuk memerangi kecurangan integriti secara radikal melalui Perutusan Tahun Baharu 2026 bagi kementeriannya, baru-baru ini, dengan melaksanakan pembaharuan tatacara dan tatakelola.

Antaranya, menyemak dan menyusun semula semua prosedur perolehan dalam sistem kementerian serta pelaksanaan digitalisasi bagi memastikan teknologi menjadi pemangkin ketelusan dan keutuhan semua proses dan projek yang membabitkan dana kerajaan.

Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara lebih menyeluruh bagi memudahkan analisis dan jangkaan dalam proses perolehan, termasuk perbandingan kos, spesifikasi dan kecekapan perolehan dengan negara lain, yang turut dapat mengenal pasti kompetensi pegawai berkhidmat.

Pada masa sama, penubuhan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah, yang akan memandu kementerian dalam semua urusan berkaitan penambahbaikan integriti dan pelaksanaan amanah serta pelaksanaan kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk memastikan jurang tadbir urus dapat dipertingkat, selaras agenda kelestarian.

“Semua langkah ini bertujuan menepati tiga objektif utama, iaitu menutup sebaik mungkin segala ruang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memudahkan pengesanan risiko serta memastikan kementerian mempunyai sistem operasi yang unggul, dipacu teknologi termaju dan diolah dalam kerangka kelestarian dan kemapanan.

“Insya-Allah, ia tidak akan terhenti di situ saja. Kementerian akan terus meneroka lebih banyak ikhtiar dan peluang yang akan terus memantapkan kewibawaan kementerian ini dan ATM,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img