SPRM reman bekas pengarah pusat pendidikan IPTA disyaki salah guna kuasa RM1 juta

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bergelar Datuk kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang berjumlah kira-kira RM1 juta bagi tujuan peribadi.

Perintah reman selama lima hari terhadap suspek sehingga 19 April depan dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2025 dan ketika itu dia menjawat jawatan sebagai Pengarah IPTA terbabit.

“Suspek dipercayai mempunyai kepentingan di dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan pusat pendidikan terbabit dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, susulan daripada siasatan dijalankan, SPRM telah membekukan empat akaun bank iaitu satu akaun syarikat dan tiga akaun individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM600,000.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan siasatan menjurus kepada siasatan jenayah dan tata kelola.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img