SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi membersihkan isu rasuah, tatakelola dan kelemahan tadbir urus.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata,kunjungan hormat dengan kementerian itu akan dilakukan pada Rabu depan bagi membincangkan hal-hal berkenaan dengan lebih lanjut.
Menurutnya, pihaknya bersedia untuk memberi nasihat, menjalankan kajian serta membuat penilaian berhubung aspek tatakelola dan penambahbaikan sistem.
“Saya akan membuat kunjungan hormat kepada yang berhormat Menteri (Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) dan Ketua Setiausaha MINDEF untuk membincangkan isu-isu sedia ada yang sedang dalam siasatan dan isu pembersihan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“SPRM sedia membantu berdasarkan daripada hasil siasatan kami, maklumat yang sudah kami kumpul dan juga siasatan sebelum ini dalam data kami untuk diperbincangkan. Ini untuk diperbetulkan mana-mana yang lemah dalam MINDEF terutama isu membabitkan perolehan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Katanya, fokus utama SPRM adalah terhadap isu rasuah, tatakelola serta penambahbaikan sistem, terutamanya yang melibatkan aspek perolehan dan perkara berkaitan manakala, perkara dalaman lain yang tidak membabitkan isu rasuah, ia ditangani pihak terbabit.
Sebelum ini media melaporkan, MINDEF akan melaksanakan rombakan pelan anti rasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa dalam sistem pertahanan nasional tahun ini.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, segala proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik.


