SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Simpang 4, Anak Kurau dekat Batu Kurau, Sabtu lalu.
Zakaria Shamsuddin, 42, kali terakhir dilihat kira-kira jam 4 petang ketika keluar melalui pintu belakang rumah bersama anak tirinya sebelum dia dipercayai menuju ke kawasan belukar, kira-kira 300 meter dari kediamannya.

Ketua Polis Daerah Selama, Asisiten Komisioner Sarudin Samah berkata, Zakaria didapati hilang dari pandangan dalam sekelip mata ketika anak tirinya itu berhenti seketika untuk mengikat tali kasut.
“Ketika anak tirinya tunduk untuk mengikat tali kasut, Zakaria masih berada di hadapannya namun apabila dia mendongak semula, mangsa didapati telah hilang dan gagal dikesan.

“Zakaria dipercayai tidak mengambil ubat yang ditetapkan sejak dua atau tiga hari lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Sehubungan itu, Sarudin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Zakaria untuk tampil membantu dengan menghubungi Sarjan Mejar Razak Abdul Ghani di talian 010-209 6227, atau Ibu Pejabat Polis Daerah Selama di talian 05-839 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, Zakaria belum ditemukan walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah memasuki hari kedua hari ini.
“Operasi dijalankan dengan membahagikan anggota kepada sembilan pasukan terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dan orang awam.
“Pencarian tertumpu di sektor A, B, C dan D meliputi kawasan seluas kira-kira sembilan kilometer persegi di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan malam ini.


