SEORANG pemandu yang tular dalam video memandu melawan arus di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di Serdang semalam mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan dua buah kereta lain.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan pada jam 1.07 petang.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki memandu secara melawan arus di Kilometer 24 LDP.
“Lelaki terbabit kemudian melanggar dua kereta jenis Perodua Axia dan Honda CRV yang datang dari arah Sunway menuju ke Puchong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhamad Farid, akibat kemalangan itu pemandu Honda City yang melawan arus mengalami kecederaan dan kini dirawat di hospital serta sampel darah sudah diuji oleh Jabatan Kimia.
Katanya, pemandu kedua-dua kereta Perodua Axia dan Honda CRV tidak mengalami sebarang kecederaan parah dan polis akan merakam keterangan pemandu Honda City selepas selesai menerima rawatan.
Beliau berkata, kes ini disiasat dibawah Seksven 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diatas untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 09-8074 2222,” katanya.
Terdahulu satu klip video tular dalam media sosial memaparkan sebuah kenderaan berwarna hitam dipandu secara melawan arus lalu melanggar pemilik kamera papan pemuka.


