SPRM ubah sasaran, tumpu kepada ejen dan orang tengah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi lebih tumpuan kepada ejen dan orang tengah yang terlibat dalam kegiatan rasuah mulai tahun ini, berbanding langkah biasa memburu penguat kuasa yang korup sebelum ini.

Langkah itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bukan sekadar mahu pegawai dikenal pasti gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti ditukarkan segera, malah ejen yang menjadi ‘orang tengah’ juga perlu berada dalam radar.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM akan terus komited untuk mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan pencegahan secara bersepadu bagi memastikan budaya integriti terus diperkukuh.

Beliau berkata, ia juga akan menjadi mesej jelas disampaikan bahawa rasuah dalam apa jua bentuk termasuk melalui orang tengah tidak akan sesekali ditoleransi.

“SPRM pada tahun ini akan memberi tumpuan kepada ejen berbanding memburu penguat kuasa yang korup.

“Ini termasuklah orang tengah dan juga pelobi-pelobi yang dikenal pasti memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa. Golongan ini akan ditahan dan pastinya tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka,” katanya hari ini lapor BH.

Difahamkan, ejen kini dikesan bertindak sebagai perantara bagi mengatur atau menyamarkan transaksi menggunakan akaun keldai bagi tujuan memindahkan wang suapan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Dalam titah minggu lalu, Sultan Ibrahim mahu mana-mana pegawai dikenal pasti gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti untuk ditukarkan segera.

Baginda bertitah, jika ada pegawai tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab berkenaan.

“Berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pelbagai lagi. Tidak terlepas juga SPRM.

“Tidak kira apa pangkat anda. Begitu juga ejen yang menjadi ‘orang tengah’ dan pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan, anda juga dalam ‘radar’,” titah baginda.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img