SEORANG pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat berhubung pembayaran RM320,000 kononnya bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja asing membabitkan 500 kuota milik RISDA Estates Sdn Bhd, tahun lalu.
Tertuduh, Azmi Daim, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan pemilik syarikat berkenaan dengan menyatakan bahawa RISDA Estates Sdn Bhd meminta bayaran RM320,000 bagi penganugerahan kerja pembekalan pekerja asing membabitkan 500 kuota milik syarikat itu.
Penipuan tersebut didakwa mendorong pemilik syarikat berkenaan memaklumkan kepada seorang warga Pakistan supaya membuat pindahan wang RM320,000 ke akaun Hong Leong Bank atas nama perniagaan Massive Human Resource Solutions milik tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2025 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Tertuduh turut diperintahkan supaya tidak menghubungi atau mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Haziq Aizuddin Subhi.





