Syarikat pengendali umrah bakal ditamatkan lesen susulan kejadian 36 jemaah terkandas

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sedang menimbangkan keputusan untuk membatalkan lesen sebuah syarikat pengendali umrah yang mengakibatkan seramai 36 jemaah umrah terkandas di Arab Saudi baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, keputusan itu diambil setelah mendapati syarikat Al Aisy Travel & Tours Sdn Bhd sudah tidak lagi beroperasi malah turut terdapat beberapa pelanggaran serius Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.

DATUK Seri Tiong King Sing

“Motac telah menjalankan penggeledahan, merakam percakapan pihak syarikat dan jemaah yang terlibat, serta membuka kertas siasatan. Kertas syor pembatalan lesen syarikat juga sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan pengurusan tertinggi Motac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu dilaporkan jemaah umrah terbabit terpaksa berpindah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali kerana pihak agensi didakwa gagal membuat tempahan awal.

Lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala jemaah lain yang sepatutnya pulang ke tanah air pada 3 Januari juga belum mendapat tiket.

Bagaimanapun, kesemua 36 jemaah itu akhirnya selamat tiba di tanah air pagi semalam.

Dalam pada itu, King Sing memberitahu, Kementerian telah mengarahkan pelaksanaan segera mekanisme jaminan bank sebagai syarat mandatori bagi agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah, selaras dengan hasrat kementerian sejak tahun lalu.

Menurutnya, langkah itu penting untuk memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi dan pampasan dapat disalurkan tanpa kelewatan jika berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi.

“Ini bukan beban kepada pengusaha yang jujur, sebaliknya satu tindakan tegas untuk membina sebuah ekosistem pelancongan yang selamat dan boleh dipercayai serta mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.

“Kejadian berulang begitu kerap sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Ramai jemaah terpaksa menanggung kerugian besar dan berjuang mencari jalan pulang sendiri tanpa sebarang sokongan daripada pengusaha yang sepatutnya bertanggungjawab,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img