KUMPULAN Nirvana Asia mengesyaki sindiket penipuan dari Kemboja mungkin mendalangi siri kecurian tong abu mayat dari taman peringatan di beberapa lokasi baru-baru ini.
Syarikat perkhidmatan pengurusan kematian itu berkata, insiden berkenaan tidak kelihatan sebagai kejadian rawak atau terpencil, sebaliknya membabitkan unsur jenayah terancang yang rapi.
“Jenayah serupa yang menyasarkan institusi pengebumian telah dilaporkan di pelbagai negara dan wilayah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Hong Kong dan Korea Selatan dan dipercayai berkait dengan sindiket penipuan Kemboja yang beroperasi di rantau ini.
“Perbuatan keji ini adalah kesalahan jenayah serius serta pencabulan berat terhadap maruah si mati dan hak keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi, lapor NST.
Ia susulan laporan kecurian 30 tong abu mayat dari kolumbarium di taman peringatannya di Nilai.
Di Kulai, Johor, lebih 20 tong abu mayat dipercayai dicuri dari Perpetual Memorial Park.
Nirvana Asia memaklumkan semua tong abu mayat yang terjejas di taman peringatan mereka telah ditemukan semula dan kini sedang melalui proses pengesahan, pemeriksaan serta penempatan semula secara teratur.
“Bagi mengelakkan siasatan yang sedang berjalan terjejas dan menghormati privasi keluarga terbabitt, butiran lanjut tidak akan didedahkan buat masa ini.
“Kami akan terus berhubung secara langsung dengan keluarga terlibat bagi memastikan semua urusan susulan diuruskan dengan penuh teliti dan sensitif,” katanya.
Katanya, langkah tindak balas kecemasan tahap tertinggi telah diaktifkan, termasuk mewujudkan saluran komunikasi terus secara individu dengan keluarga terjejas.
Selain menyediakan sokongan perundangan dan emosi, pihaknya juga akan mengatur upacara keagamaan dan majlis peringatan yang bersesuaian bagi menghormati si mati.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, laporan polis dibuat pada 26 Februari lalu, dengan pengadu mendakwa beberapa tong abu mayat hilang dari kolumbarium.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pihak pengurusan tanah perkuburan menerima panggilan suara WhatsApp antarabangsa daripada seorang individu yang mendakwa memiliki tong abu mayat yang hilang.
Johari berkata, polis tidak menolak kemungkinan pemanggil itu mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, kerana individu tersebut didakwa meminta wang tebusan sebagai pertukaran untuk memulangkan tong abu mayat.


