JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang merekodkan bantuan berjumlah lebih RM4.49 juta bagi 6,290 kes penerima Tabung Malapetaka Daerah (TMD) bermula 2022 hingga Oktober lepas.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan itu disalurkan melibatkan empat kategori iaitu kes ribut, kebakaran, kematian dan bencana lain termasuk tanah runtuh, ditimpa pokok serta lemas.
“Secara khususnya kita menyalurkan RM50,000 secara ampungan kepada tabung ini bagi setiap daerah yang diuruskan oleh Pegawai Daerah.
“Sekiranya berlaku bencana, pengerusi TMD boleh gunakan wang ini untuk menyalurkan bantuan segera maknanya duit sudah ada. Jika tidak mencukupi, pihak daerah boleh memohon kepada kerajaan negeri untuk tambahan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Kuantan hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ho Chi Yang (PH-Tanah Rata) berhubung jumlah peruntukan disediakan kepada Tabung Bantuan Bencana Daerah bagi setiap daerah dari 2022 hingga kini.
Menjawab soalan tambahan Ho berkaitan cadangan mewujudkan tabung bencana pertanian, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri bersedia mengkaji inisiatif berkenaan.
“Cadangan itu kerajaan negeri akan kaji sebab kedudukan kewangan semakin baik, kalau tidak ada tabung pun mungkin boleh beri sekali sahaja,” katanya.





