Banglo dijadikan markas sindiket penipuan dalam talian, 12 ditahan

Sebuah banglo di Damai, Kota Kinabalu, dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan kewangan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari beberapa negara sebelum kegiatan itu terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Sabah, semalam.

Dalam serbuan Ops Serkap kira-kira jam 11 pagi itu, seramai 12 lelaki warga China berusia antara 20 hingga 43 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu turut membawa kepada rampasan 153 telefon bimbit jenama Apple pelbagai model, 11 komputer, satu unit pemprosesan pusat (CPU) dan 13 penghala internet.

Katanya, pemeriksaan terhadap peralatan komputer di premis itu turut menemukan rekod transaksi kewangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan berkenaan.

“Ketika serbuan, 10 komputer sudah dilog keluar, namun satu lagi masih aktif dan membolehkan pasukan kami melihat transaksi yang dijalankan.

“Antara transaksi dikesan membabitkan pembayaran kira-kira RM3,900, manakala transaksi lain dianggarkan antara RM3,890 hingga RM6,140,” katanya pada sidang media berhubung Ops Serkap di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Sabah, hari ini.

Menurutnya, selain telefon bimbit dan komputer, pihaknya turut merampas sebuah mesin pencetak, tujuh pengecas, 22 kad SIM, tiga pasport China serta pelbagai mata wang asing.

Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai menyasarkan mangsa dari beberapa negara termasuk China, India, Kemboja dan Vietnam.

Beliau berkata, kegiatan berkenaan bukan penipuan percintaan atau ‘love scam’, sebaliknya lebih menjurus kepada penipuan kewangan dalam talian.

Katanya, kumpulan itu dipercayai sering berpindah dari satu premis ke premis lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Apabila mereka menyedari pergerakan sedang dipantau, mereka akan berpindah ke lokasi lain, menyebabkan pasukan risikan perlu terus menjejaki mereka,” katanya, lapor BH.

Daripada 12 lelaki yang ditahan, empat didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas, manakala lapan lagi gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here