PERINTAH Mahkamah yang menggunakan perkataan “discharge forthwith” berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu diteliti dengan mengambil kira Perintah Pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini memberikan pengurangan hukuman dengan pelaksanaan melalui tahanan rumah, bukannya pengampunan penuh.
Peguam Liyana Marzuki berkata, perkara itu perlu diberikan penjelasan lanjut bagi mengelakkan kekeliruan mengenai status tahanan dan pelaksanaan hukuman terhadapnya.
Katanya melalui Facebook beliau, penggunaan istilah berkenaan menimbulkan persoalan sama ada Najib dilepaskan serta-merta daripada tahanan atau pelepasan itu hanya merujuk kepada konteks tertentu dalam prosiding mahkamah.

Beliau berkata, isu utama bukan terletak pada kejelasan Titah Pengampunan Diraja, sebaliknya pada tafsiran dan pelaksanaan Perintah Mahkamah yang memerlukan penjelasan lanjut.
Menurut Liyana, keadaan itu turut menjadi cabaran kerana Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus yang mengawal pelaksanaan tahanan rumah seperti yang diamalkan di beberapa negara lain.
Katanya, ketiadaan peruntukan dan prosedur yang jelas berhubung mekanisme berkenaan menyebabkan beberapa persoalan undang-undang perlu diperhalusi sebelum sebarang tindakan dilaksanakan.
“Ini pertama kali dalam sejarah negara seorang pesalah mendapat pengampunan diraja melalui kaedah tahanan rumah. Prosedurnya juga masih belum jelas sepenuhnya, jadi masalah pada peringkat awal memang boleh berlaku,” katanya.
Liyana berkata, beliau difahamkan Perintah Pelepasan itu diperoleh selepas pihak peguam Najib menjelaskan bayaran denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu.
Menurutnya, perintah berkenaan dikeluarkan secara ex parte, iaitu melalui permohonan sebelah pihak tanpa kehadiran wakil Jabatan Peguam Negara (AGC).
Justeru, katanya, AGC wajar mendapatkan penjelasan mahkamah bagi memastikan maksud dan kesan perintah itu dapat ditentukan secara jelas serta teratur.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai implikasi Perintah Pelepasan itu terhadap hukuman penjara 15 tahun yang dikenakan terhadap Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, mahkamah sebelum ini menetapkan hukuman bagi kes 1MDB perlu dijalankan selepas selesai hukuman bagi kes SRC International.
“Jika Najib dianggap sudah dilepaskan sepenuhnya daripada hukuman SRC, bagaimana pula dengan pelaksanaan hukuman 15 tahun dalam kes 1MDB yang perlu berjalan secara berturutan (back-to-back)?
“Banyak lagi pertikaian dan penjelasan perlu dibuat. Saya tidak fikir pegawai AGC dan Jabatan Penjara sengaja mahu mengingkari segala perintah. Mereka perlu menjalankan tugas berdasarkan kerangka undang-undang yang ada,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara cermat kerana perkembangan kes SRC dan 1MDB mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Katanya, sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman terhadap Najib perlu mengambil kira kedudukan undang-undang, Perintah Pengampunan Diraja serta perintah mahkamah yang berkaitan.
“Kes SRC dan 1MDB ini mendapat perhatian dunia. Apa sahaja tindakan Malaysia dalam perkara ini akan diperhatikan.
“Kita doakan semuanya dapat diselesaikan dengan cermat,” katanya.
SEMENTARA itu melalui akaun twitter @Nazril_Iznil turut membincangkan isu yang sama melalui satu analisis.
Melalui analisis itu, @Nazril_Iznil mendakwa kandungan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) Najib tidak menyatakan secara lengkap semua peruntukan undang-undang berkaitan sabitan dan hukuman beliau dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Analisis yang tular di media sosial itu mendakwa perintah bertarikh 6 November 2026 hanya merujuk kepada Seksyen 409 Kanun Keseksaan, sedangkan sabitan Najib dalam kes berkenaan melibatkan tiga peruntukan undang-undang.
Ia merangkumi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) serta satu pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa.
Menurut analisis itu, ketiadaan rujukan kepada dua peruntukan terakhir menimbulkan persoalan sama ada perintah pelepasan berkenaan merangkumi keseluruhan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadap Najib.





