LELAKI yang ditahan bersama lebih 100 kilogram (kg) syabu di sempadan Brunei-Miri, Sarawak, pada 31 Oktober lalu disahkan rakyat Malaysia dan dipercayai dalam perjalanan menuju ke Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 46 tahun itu berasal dari Miri, Sarawak, serta mempunyai dua rekod jenayah lampau.
“PDRM menerima maklumat daripada Biro Kawalan Narkotik (BKN) Brunei berhubung tangkapan seorang lelaki warga Malaysia oleh pihak Kastam Brunei di Pos Kawalan Sungai Tujoh.
“Siasatan awal berdasarkan maklumat BKN Brunei mendapati suspek ditahan ketika memasuki negara itu dari Miri, Sarawak,” katanya lapor Buletin TV3.
Hussein berkata, berdasarkan maklumat pihak berkuasa Brunei, suspek dipercayai menggunakan negara berkenaan sebagai laluan transit sebelum memasuki semula Malaysia.
“Suspek dijangka meneruskan perjalanan melalui Kuala Belait, Seria, Tutong dan Bandar Seri Begawan sebelum menuju ke Temburong melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.
“Suspek seterusnya dijangka memasuki semula Sarawak melalui Labu-Mengkalap sebelum menuju ke Sabah melalui laluan Merapok-Sindumin,” katanya.
Beliau berkata, dadah yang disyaki syabu itu dianggarkan seberat 100kg dengan nilai kira-kira RM5 juta.
Katanya, JSJN akan meneruskan kerjasama risikan dengan BKN Brunei bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah serta kemungkinan kaitannya dengan rangkaian sindiket di Malaysia.
“JSJN akan meneruskan penyelarasan risikan dan kerjasama dengan BKN Brunei bagi mendapatkan maklumat punca bekalan diperoleh.
“Kerjasama berkenaan juga bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan individu atau rangkaian sindiket pengedaran dadah yang mempunyai kaitan dengan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, pihak berkuasa Brunei melaporkan rampasan 102.19kg syabu yang disembunyikan dalam 100 bungkusan teh di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Brunei-Miri, Sarawak.
Rampasan itu dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya BND2.8 juta dan merupakan rampasan dadah terbesar pernah direkodkan di pos kawalan berkenaan.
Selain syabu, pihak berkuasa Brunei turut merampas empat pil Erimin 5, wang tunai RM1,180, SGD10, BND10 dan 500 baht, dua telefon bimbit serta sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.





