SUARA AWANG SELAMAT
Awang nak ucap tahniah kepada UMNO Perak kerana menjadi UMNO negeri pertama yang rakyat tahu Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Yang Awang tertariknya ‘pengumuman itu’ dibuat oleh Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dengan menyatakan ia dimaklumkan oleh Bendahari UMNO Perak Sham Mat Sahat sekaligus membuktikan betapa eratnya hubungan antara kedua-dua parti.
“Sahabat lama saya, Datuk Sham, menyampaikan khabar gembira bahawa UMNO Perak telah sebulat suara bersetuju BN akan terus bekerjasama dengan PH pada PRU16. Sebab itulah seluruh jentera DAP perlu bekerja keras sebagai satu pasukan untuk memastikan bukan sahaja calon PH menang, tetapi calon BN juga berjaya,” katanya berucap pada Konvensyen DAP Perak.
Dalam bab ini, Awang tabik kat DAP sebab mereka tak sembunyi-sembunyi kalau ada agenda politik yang perlu rakyat dan penyokong mereka tahu. Cakap-cakap awal senang nak ‘cover’ kalau ada masalah.
Melalui pengumuman itu, pemimpin dan ahli UMNO Perak tak perlu risau apa-apa lagi sama ada akan hilang kuasa atau tidak, sebab kalaupun UMNO berjaya mempertahankan hanya sembilan kerusi dalam PRU-16 nanti kerusi Menteri Besar pasti miliki UMNO.
Walaupun Pakatan Harapan akan menang banyak kerusi sekurang-kurangnya 26 kerusi seperti PRU lalu, mereka tak akan kacau kerusi MB. DAP akan beri laluan kepada UMNO yang telah ‘berkorban’ untuk bekerjasama dengan mereka selepas PRU-15 menubuhkan kerajaan di Perak.
Oleh itu dalam pilihan raya nanti sudah sah, BN akan terus bekerjasama dengan PH kerana apabila BN Perak sudah membuat pendirian tersebut, tak kanlah BN Pusat akan membuat pendirian berbeza, pastinya formula yang sama akan digunakan di seluruh negara.
Awang fikir ia formula terbaik untuk UMNO jika mereka mahu terus wujud di persada politik negara. UMNO sudah tidak akan keupayaan lagi untuk bangkit semula. Sejak kalah dalam PRU-14 kekuatan politik UMNO ibarat ‘bukit yang mengalami hakisan kini dalam fasa mahu runtuh’ ….terpaksa letak penghadang plastik elak runtuhan.
Jadi UMNO tidak ada cara lain bagi mengelakkan ‘keruntuhan’ itu. UMNO perlu mencari pasak yang kuat untuk menumpang. Maka sudah tentu PH pilihan terbaik yang UMNO ada, bukan sahaja di Perak malah seluruh negara.
Bagi Awang itulah taktikal terbaik Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bagi menyelamatkan masa depan UMNO. Lagipun UMNO tak payah pening-pening nak fikir macam mana nak menang banyak kerusi dalam pilihan raya.
Sebabnya jika sesuatu negeri itu PH menang banyak kerusi mereka akan bagi UMNO jadi MB atau Ketua Menteri, kecuali Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.Manakala di peringkat pusat, UMNO tak payah nak sibuk cari atau umum calon PM macam Bersatu tu sebab Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon terbaik untuk jawatan tersebut.
Kewibawaan Anwar setakat ini belum dapat ditandingi pemimpin-pemimpin UMNO. Pasal itulah Awang tengok UMNO tak kalut sangat cari calon PM, sebabnya mereka tahu nak ‘ukur baju kat badan sendiri’.
Sikap UMNO tak macam Bersatu yang dok kalut sangat nak calonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi calon PM sedangkan dalam Perikatan Nasional ada Pas yang kekuatannya sama taraf dengan DAP.
Patutnya Pas la sibuk nak cari calon PM atau umumkan sapa mereka nak jadi PM daripada PN tapi Pas nak menang PRU dulu barulah cerita sapa nak jadi PM. Jadi untunglah PH ada sekutu yang sedar diri.
Awang – Betul ke..ada gabungan ‘dah standby tayar ganti’?



