PERMOHONAN tambahan 100 liter diesel sebulan yang diperkenalkan menerusi mekanisme subsidi bersasar diesel akan terus dibuka bagi memastikan semua individu yang layak dapat mengemukakan permohonan pada bila-bila masa.
Sehubungan itu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemilik kenderaan diesel di Sarawak yang memerlukan penggunaan bahan api melebihi kuota asas 200 liter sebulan tidak perlu bimbang terlepas peluang memohon kuota tambahan kerana kerajaan tidak menetapkan sebarang tarikh tutup bagi permohonan berkenaan.
Katanya, pendekatan itu turut mengambil kira pemilik baharu kenderaan diesel yang mungkin hanya membeli kenderaan mereka pada masa hadapan.
“Dari segi kelayakan untuk memohon, tak ada tempoh masa. Kerana kita kena memahami yang kadang-kadang hari ini orang itu tak ada kenderaan diesel, sebulan depan dia beli pikap atau jeep, jadi dia pun layak.
“Kita tak nak tutup dengan kata diesel ‘one-time offer’ sahaja. Jadi ia akan terus berjalan kerana asasnya adalah untuk berlaku adil kepada semua,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Media berkenaan Pelaksanaan Budi Diesel bersama Menteri Kewangan II di Kuching, hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan belum bercadang untuk mengkaji semula kuota asas 200 liter diesel sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Katanya, keberkesanan mekanisme berkenaan perlu dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan dipertimbangkan.
Beliau menjelaskan data penggunaan semasa menunjukkan hanya 0.76 peratus pengguna diesel menggunakan bahan api melebihi 200 liter sebulan, sekali gus membuktikan kuota yang ditetapkan mampu memenuhi keperluan majoriti pengguna.
Amir Hamzah menegaskan pengapungan harga diesel di stesen minyak kekal sebagai mekanisme utama kerajaan dalam mengekang ketirisan subsidi kepada pihak yang tidak layak.
Menurutnya, usaha itu turut disokong pemantauan berterusan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Polis Marin bagi membendung aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan diesel.






