KERAJAAN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan ancaman terhadap keselamatan negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memandang serius insiden tembakan melibatkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kedah pagi ini.
Tegas beliau, kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan kes disiasat secara menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya bersyukur beliau selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin mengulas insiden tembakan melibatkan kenderaan dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir hari ini.
Media hari ini melaporkan, Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian cubaan bunuh ketika beliau memandu ke masjid yang terletak satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh.
Dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang memakai topi keledar berpenutup penuh dan tidak membuka lampu ketika melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.
Dalam pada itu, Saifuddin menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.
Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan negara adalah satu perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima.

“Insiden pagi tadi adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang dipandang serius dan sama sekali tidak akan dikompromi.
“AKPS menegaskan bahawa sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan negara adalah satu perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


