SERAMAI lima saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan kes tembak kereta Proton X70 dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Rabu lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, semua saksi terbabit adalah berkait rapat dengan kes ini.
“Selain itu, polis juga sedang mengenal pasti jika ada suspek terbaharu berdasarkan keterangan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita Thailand berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kes itu dalam beberapa serbuan di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis pada hari yang sama selepas kejadian.
Insiden itu menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandu Nasaruddin ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin Bukit Kayu Hitam kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.


