BEKAS Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuatkuaa hari ini bagi tempoh dua tahun.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan selain menerajui MIDA, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Tengku Zafrul memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri berhubung kesediaannya untuk terus berkhidmat walaupun tugasnya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berakhir semalam, susulan tamat tempoh sebagai senator.
Tengku Zafrul berkata, beliau juga sentiasa bersedia menyokong pentadbiran kerajaan dalam apa-apa jua bentuk peranan, sementara menantikan pengumuman rasmi mengenai kedudukan beliau selepas ini.
“Saya rasa perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Perdana Menteri memaklumkan kepada Kabinet bahawa itu merupakan mesyuarat Kabinet terakhir saya dan saya fikir Datuk Fahmi Fadzil (Jurucakap Kerajaan Madani) telah menyatakan dengan tepat bahawa saya akan mempunyai peranan untuk menyokong kerajaan.
“Saya akui ada berbincang dengan Perdana Menteri sebelum ini, dan saya nyatakan kesediaan untuk membantu dalam apa juga kapasiti bagi menyokong kerajaan dan negara. Namun saya tidak tahu apa yang telah diputuskan Perdana Menteri,” katanya



