SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganggap kelulusan sesuatu peruntukan kerajaan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menimbulkan sebarang isu, tertakluk kepada syarat ia tidak menyanggah Perlembagaan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Halim Aman berkata, kerajaan yang masih berkuasa sebelum pembubaran DUN mempunyai kuasa untuk membuat dasar serta mengumumkan peruntukan.
“Kerajaan yang berkuasa dan memerintah boleh membuat apa sahaja polisi asalkan polisi terbabit tidak menyanggah undang-undang dan juga Perlembagaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini, lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada SPRM akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan peruntukan RM180,000 disalurkan kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sehari sebelum pembubaran DUN Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, sekiranya peruntukan itu benar-benar diumumkan sehari sebelum pembubaran DUN, kerajaan ketika itu masih kerajaan yang sah dan mempunyai kuasa untuk membuat dasar serta keputusan berkaitan peruntukan.
“Keadaan berbeza sekiranya peruntukan atau dasar baharu dibuat selepas DUN dibubarkan ketika kerajaan berada dalam tempoh kerajaan sementara.
“Kerajaan sementara tidak boleh membuat dasar baharu atau memberikan peruntukan yang boleh mengikat kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya.
“Jika seandainya peruntukan itu diisytiharkan ataupun diberikan di dalam waktu kerajaan sementara (caretaker government) iaitu selepas DUN dibubarkan, itu berbeza.
“Kerajaan sementara tidak boleh membuat sesuatu polisi baharu bagi mengikat kerajaan yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu tidak bermaksud SPRM mengesahkan peruntukan berkenaan bebas daripada sebarang unsur rasuah atau penyelewengan, sebaliknya penilaian sedemikian hanya boleh dibuat berdasarkan fakta serta laporan yang diterima pihak berkuasa.





