KEPUTUSAN Mesyuarat Khas Jawatankusa Pas Pusat malam tadi yang memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu menimbulkan persoalan berhubung kedudukan pentadbiran di empat negeri yang diperintah oleh Perikatan Nasional (PN).
Empat negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Bagaimanapun daripada empat negeri tersebut hanya kedudukan Perlis yang menjadi perhatian.
Ia kerana di Perlis, kedua-dua parti tidak mempunyai majoriti mudah untuk mentadbir. Perlis mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Selepas Pilihan Raya Umum 2022, Pas menguasai 9 kerusi, Bersatu (5 kerusi) dan PKR (1 kerusi).
Bagaimanapun kedudukan berubah apabila berlaku krisis politik di negeri itu pada 22 Disember 2025 berikutan tindakan lima ADUN Bersatu dan 3 ADUN Pas menarik sokongan kepada Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Lanjutan itu Pas yang kecewa dengan tindakan Bersatu membuat keputusan menggugurkan keahlian tiga ADUN parti itu menyebabkan ketiga-tiga kerusi DUN diisytiharkan kosong – tetapi tiada PRK dilaksanakan.
Berikutan itu kedudukan terkini menyaksikan Pas memiliki 6 kerusi, Bersatu (5 kerusi) dan PKR (1 kerusi) manakala 3 kerusi kekal KOSONG. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 8 kerusi manakala majoriti dua pertiga ialah 10 kerusi.
Tetapi kedua-dua parti tidak mempunyai cukup kerusi jika pemutusan kerjasama politik yang dibuat oleh Pas pusat semalam dilaksanakan.

Ketika ini pentadbiran negeri itu diketuai oleh ADUN Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun dengan perkembangan terbaru, ia menimbulkan persoalan apakah PRN terpaksa diadakan negeri itu? Adakah Abu Bakar akan memohon pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya?
Ia memandangkan sebelum ini Abu Bakar sudah menyatakan bahawa beliau akan memohon DUN dibubarkan jika usul tidak percaya dibuat ke atas beliau.Tetapi apa yang sedang berlaku bukan soal usul itu tetapi soal KERJASAMA POLITIK Pas dan Bersatu sudah berakhir.
Maknanya secara logik, pentadbiran kerajaan perlu dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN yang bermaksud memberi mandat kepada rakyat menamatkan kecelaruan yang berlaku.
Bagaimanapun kedudukan Kerajaan Perlis boleh kekal jika Pas bersetuju untuk terus bersama atas dasar KERJASAMA PENTADBIRAN bukan KERJASAMA POLITIK. Namun apa yang berlaku pada Disember lalu mungkin belum sembuh lukanya lagi.
Sehingga ke hari ini, tindakan Bersatu menarik sokongan terhadap Shukri dengan kerjasama tiga ADUN Pas masih terberkas dalam catatan politik Pas. Atas sebab itulah walaupun Pas menyokong Abu Bakar sebagai Menteri Besar namun parti itu belum menerima kembali keahlian tiga ADUN Pas berkenaan.
Justeru kini keputusan di tangan Abu Bakar sama ada mahu mengharapkan ehsan Pas atau membubarkan DUN. Secara peribadi penulis berpendapat DUN Perlis wajar dibubarkan jika apa yang berlaku boleh menggugat pentadbiran kerajaan negeri.
Sebelum ini walaupun tiga kerusi ADUN Pas diisytiharkan namun PRK tidak diadakan kerana pentadbiran negeri masih boleh berjalan. Ia disebabkan Pas bersetuju menyokong Abu Bakar dan terus berada dalam Kerajaan PN.
Tetapi kini senario sudah berubah kerana KERJASAMA POLITK kedua-dua parti sudah berakhir. Jika Pas menarik diri daripada kerajaan negeri atas alasan itu Abu Bakar tiada pilihan, DUN Perlis wajib dibubarkan.
Di Kedah, Kelantan dan Terengganu…pentadbiran kerajaan negeri tidak tergugat. Pas dominan di ketiga-tiga negeri. Di Kedah, walaupun dua ADUN Bersatu dipecat daripada parti itu pada Mei lalu namun ADUN Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang Abdul Razak Khamis dikekalkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi memutuskan bahawa kedua-dua ADUN tersebut kekal menjalankan tugas masing-masing dalam pentadbiran negeri buat sementara waktu dan terus menyokong kerajaan negeri.
Dzohwahir adalah Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah manakala Abdul Razak ialah Timbalan Speaker DUN Kedah.
Di Kelantan, tiada Exco Bersatu dalam Kerajaan Negeri manakala di Terengganu, hanya ADUN Kijal Datuk Razali Idris daripada Bersatu berada dalam pentadbiran negeri. Beliau patut meletakkan jawatan kerana kedudukan tidak sama dengan dua ADUN Bersatu di Kedah
Berdasarkan senario di keempat-empat negeri ini, kedudukan Perlis paling menarik perhatian kerana berpotensi diadakan PRN manakala Razali perlu berundur daripada pentadbiran negeri…apapun kita tengok siapa yang kena!


