Lelaki positif dadah pandu pikap melulu, berbahaya direman empat hari

SEORANG lelaki yang ditahan selepas memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton secara melulu dan berbahaya di Seberang Jaya, Bukit Mertajam pagi semalam, direman selama empat hari sehingga 12 Jun ini.

Lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditahan oleh orang awam di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) berhadapan sebuah stesen minyak di Seberang Jaya, sebelum diserahkan kepada polis.

SUSPEK pemandu Mitsubishi Triton yang dipandu melulu dan berbahaya dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mendapat erintah reman pagi ini

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret J Savinder Singh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini.

Suspek yang memakai baju lokap sebelum itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan menaiki trak polis sambil diiringi anggota polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah malam tadi memaklumkan, polis segera ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat pada jam 10.05 pagi berkaitan kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan dipandu lelaki terbabit.

“Siasatan awal mendapati pemandu seorang lelaki dipercayai memandu kenderaan secara melulu dan berbahaya dari arah Sungai Dua menghala ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa kenderaan di sepanjang laluan.

“Suspek kemudian ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis. Pemeriksaan lanjut terhadap beg silang suspek menemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi methamphetamine seberat 0.75 gram (gm) dan 2.38gm ketamin.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah. Semakan mendapati dia mempunyai 15 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan dua rekod jenayah,” katanya.

Nik Aminuddin berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini untuk permohonan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pada masa sama, polis juga akan menjalankan siasatan berkaitan kemalangan yang berpunca daripada suspek mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan.

“Dalam pada itu, polis dalam proses mengesan semua mangsa serta saksi bebas yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Nik Aminuddin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 011-1457 2390.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img