POLIS menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya seorang wanita diculik di hadapan sebuah kedai makan di kawasan Karak, dekat Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima maklumat berhubung hantaran berkenaan semalam sebelum menjalankan semakan dan siasatan di premis terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dakwaan itu palsu dan tidak berlaku seperti yang didakwa.
“Pemilik premis turut membuat satu laporan polis berhubung penularan maklumat terbabit pada jam 9.21 malam, semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham berkata, pihaknya turut memohon pemilik akaun media sosial menggunakan nama ‘nadiahrafiq_’ supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berkaitan penularan hantaran berkenaan.
Beliau berkata, polis memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran serta mengganggu ketenteraman awam.
Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur kesalahan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menimbulkan kegusaran serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah hendaklah disalurkan terus kepada pihak polis bagi membolehkan semakan dan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya kekal tenang, tidak panik dan membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kebenarannya.





