UMNO Subang gesa pihak berkuasa siasat, dedahkan isu kemalangan roller coaster di taman tema

UMNO Bahagian Subang menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mendedahkan insiden kemalangan melibatkan permainan roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya pada malam Sabtu lalu kepada orang ramai.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, keselamatan pengunjung tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan.

Berikut adalah kenyataan penuh Armand Azha yang dimuat naik dalam Facebook beliau malam tadi:

INSIDEN ROLLER COASTER SUNWAY LAGOON DI SUBANG JAYA: KESELAMATAN PENGUNJUNG MESTI MENJADI KEUTAMAAN

UMNO dan Barisan Nasional Bahagian Subang memandang serius insiden melibatkan permainan roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya pada malam Sabtu lalu yang mengakibatkan 10 daripada 22 penumpang mengalami kecederaan.

Menurut kenyataan Polis Daerah Subang Jaya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.00 malam dan melibatkan penumpang berusia antara 11 hingga 44 tahun, termasuk warga tempatan serta pelancong asing. Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan, manakala tiada kematian dilaporkan. Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sebagai sebuah kawasan yang mewakili kepentingan rakyat Subang, kami berpandangan bahawa keselamatan pengunjung tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak, keluarga dan pelancong dari dalam serta luar negara.

Kami juga mengambil perhatian bahawa beberapa rakaman berkaitan kejadian telah tular di media sosial. Dalam masa yang sama, terdapat pelbagai dakwaan dan spekulasi mengenai punca kejadian serta bagaimana insiden tersebut dikendalikan. Kami tidak mahu membuat tuduhan yang belum disahkan, namun persoalan masyarakat wajar dijawab secara terbuka berdasarkan fakta dan hasil siasatan.

Kami menuntut beberapa perkara:

Pertama, pihak pengurusan taman tema berkenaan perlu memberikan penjelasan rasmi dan telus mengenai kejadian, termasuk tindakan segera yang diambil bagi membantu mangsa.

Kedua, siasatan terhadap aspek keselamatan permainan, rekod penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal serta pematuhan prosedur operasi perlu dilakukan secara menyeluruh dan bebas.

Ketiga, pihak berkuasa berkaitan perlu memastikan permainan yang terlibat tidak kembali beroperasi sehingga keselamatannya benar-benar disahkan.

Keempat, sekiranya terdapat sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur, pihak yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira status atau kedudukan mana-mana pihak.

Kelima, kami menyeru agar segala dakwaan mengenai cubaan menutup atau menyembunyikan fakta kejadian disiasat berdasarkan bukti. Jika dakwaan tersebut tidak benar, jelaskan. Jika benar, tindakan mesti diambil.

Kita tidak mahu budaya “tutup dahulu, jawab kemudian” berlaku dalam isu yang melibatkan keselamatan awam.

Keutamaan kita bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak atau merosakkan reputasi mana-mana syarikat. Keutamaan kita ialah keselamatan rakyat, hak mangsa untuk mendapat pembelaan dan hak orang awam untuk mengetahui perkara sebenar.

Kami juga menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana pihak polis sendiri telah meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Keselamatan rakyat bukan komoditi. Nyawa manusia tidak boleh dinilai berdasarkan kos operasi, keuntungan ataupun reputasi korporat.

UMNO dan Barisan Nasional Bahagian Subang akan terus mengikuti perkembangan kes ini dan memastikan kepentingan serta keselamatan rakyat Subang sentiasa diberikan perhatian.

Sekian

DATO’ DR ARMAND AZHA HJ ABU HANIFAH Ketua UMNO / BN Bahagian Subang Timbalan Presiden, Majlis Senator Malaysia

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here