TIADA kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan laut ke Kelantan direkodkan sepanjang pelaksanaan Ops Bersepadu Membanteras Penyeludupan PATI selama dua minggu, dari 7 hingga 21 November lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi rintis siri kedua itu dilaksanakan menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Katanya, sekatan turut dilakukan di Teluk Renjuna, Tumpat bagi menghalang sebarang pergerakan masuk melalui Sungai Kelantan.
“Alhamdulillah sepanjang tempoh itu, tiada kes direkodkan melalui jalan laut kerana PATI tidak berani masuk ke Kelantan susulan operasi yang dilakukan, sebaliknya kita mengesan mereka menukar kepada laluan Sungai Golok.
“Ia berdasarkan dua kes penyeludupan PATI direkodkan di Tanah Merah dan Gua Musang dengan kemasukan mereka menggunakan Sungai Golok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Yusoff berkata, kes di Kampung Nibong, Tanah Merah membabitkan tangkapan seorang tekong dan 30 warga Myanmar, manakala di Gua Musang, seorang tekong bersama 23 PATI ditahan.
Selain itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan menahan 10 individu di Tumpat, termasuk sembilan warga Myanmar disyaki PATI dan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong.
Katanya, polis kini memberi tumpuan kepada pendekatan pencegahan bagi menghalang kemasukan PATI sebelum mereka memasuki negara ini.
“Kita kini mahu menggunakan pendekatan mencegah sebelum PATI masuk ke dalam negara berbanding tangkapan selepas mereka sudah masuk kerana banyak proses perlu dilakukan.
“Bagaimanapun setakat ini kes penyeludupan PATI di Kelantan masih terkawal dan kemasukan mereka disebabkan dengan adanya tekong yang menjadi pengkhianat negara,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 4,953 tangkapan PATI membabitkan 2,887 kes direkodkan di Kelantan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 3,535 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu, meningkat 40.1 peratus.
“Daripada jumlah tangkapan tahun ini, PDRM Kelantan merekodkan 4,483 orang, PGA seramai 855 orang dan Pasukan Polis Marin (PPM) seramai 41 orang,” katanya.




