Tiada sekatan anjur program bersama peneroka Felda – PM

KERAJAAN Persekutuan menegaskan tiada sebarang sekatan terhadap penganjuran program bersama peneroka Felda oleh kerajaan negeri, namun penggunaan jentera Kerajaan Persekutuan untuk tujuan kempen pilihan raya sama sekali tidak diizinkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan jelas sudah dikeluarkan bahawa semua acara yang menggunakan jentera kerajaan tidak dibenarkan sepanjang tempoh kempen pilihan raya bagi memastikan prinsip keadilan dan integriti dipatuhi.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah sebelum ini meminta penjelasan mengenai dakwaan pembatalan sambutan Hari Felda di Kluang, Johor yang didakwanya berpunca daripada isu politik sehingga menjejaskan harapan peneroka untuk menerima geran tanah.

Menafikan dakwaan pembatalan itu datang daripada pihaknya, Anwar menjelaskan bahawa keputusan mengenai program berkenaan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya atas arahan Kerajaan Persekutuan.

“Arahannya ialah tidak boleh ada acara menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya. Itu arahan bagi kesemua. Jadi dalam soal Hari Peneroka, ia tidak dilarang. Kerajaan negeri nak pergi bagi geran tanah, itu hal dia, bukan larangan.

“Tapi untuk gunakan jentera Felda untuk berkempen, tidak boleh,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, isu pembatalan berkenaan tidak pernah dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri kepadanya, malah menyifatkan dakwaan yang tular di media sosial itu sebagai tidak berasas.

Beliau berkata, tiada halangan untuk mana-mana Menteri Besar memasuki kawasan Felda bagi melaksanakan program mereka sendiri.

Mengulas lanjut mengenai kebajikan peneroka, Menteri Kewangan itu berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri sentiasa memberi perhatian serius terhadap agenda pemulihan Felda yang sebelum ini terjejas akibat pengurusan terdahulu.

Beliau memberi contoh komitmen kerajaan yang menyalurkan peruntukan bantuan RM1 bilion sebulan bagi menyelamatkan kedudukan kewangan agensi berkenaan demi kepentingan peneroka.

“Felda yang untungnya besar semasa (kepimpinan) bekas Pengerusi Kumpulan Felda, Raja Muhammad Alias memegang, dimusnahkan kerana pengurusan yang merosakkan dan sekarang kita pulihkan, kita yang tampung,” katanya.

Anwar berkata, pelbagai kemudahan baharu kini dibawa masuk ke kawasan rancangan itu termasuk penyediaan pusat dialisis di setiap kawasan serta penyaluran bantuan terus jentera kerajaan persekutuan untuk menaik taraf sekolah dan infrastruktur tempatan.

Langkah itu, katanya, adalah anjakan besar berbanding sebelum ini iaitu kawasan Felda yang sering kali terlepas daripada projek pembangunan desa secara menyeluruh.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img