SAMBUTAN Ulang Tahun UMNO ke-80 hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila diraikan di tempat ‘kelahiran’ parti itu di Istana Besar Johor, di Johor Bahru.
Sambutan bersejarah itu cukup simbolik apabila diadakan di negeri ini, lokasi bersejarah yang menjadi saksi kelahiran parti itu pada 11 Mei 1946.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima menghadap barisan kepimpinan tertinggi UMNO di Istana Besar Johor dan turut berangkat, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Baginda berdua turut berkenan bergambar bersama kepimpinan UMNO di Tangga Selat, Istana Besar Johor sebagai simbolik meraikan tertubuhnya parti tersebut di istana berkenaan pada 11 Mei 1946.
Keberangkatan tiba baginda berdua kira-kira pada jam 11.10 pagi itu disambut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ia sekali gus merealisasikan hasrat Ahmad Zahid untuk mengadakan sambutan di istana berkenaan pada sambutan kali ini.
Terdahulu, beberapa kenderaan pemimpin tertinggi UMNO mula memasuki Istana Besar Johor seawal jam 9.30 pagi.
Selain Ahmad Zahid, turut kelihatan hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama barisan kepimpinan tertinggi parti dari seluruh negara, selain barisan EXCO kerajaan negeri.
Sambutan dijangka menghimpunkan ratusan pemimpin UMNO dari seluruh negara sebagai simbolik memperingati sejarah penubuhan parti itu.
Suasana di sekitar pekarangan istana turut dikawal ketat dengan kehadiran anggota keselamatan sejak awal pagi bagi memastikan kelancaran lalu lintas di tengah pusat bandar raya Johor Bahru.
Difahamkan bacaan Yasin akan diadakan sempena sambutan ulang tahun parti sejurus selepas pertemuan dengan Tunku Mahkota Ismail.
Barisan kepimpinan UMNO kemudian akan bergerak ke Ibu Pejabat UMNO Johor di Jalan Yahya Awal bagi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijangka bermula jam 3 petang.
Sambutan di Istana Besar Johor kali ini turut mencetuskan spekulasi berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan ada laporan media memetik sumber berkata cadangan mengadakan PRN difahamkan mendapat sokongan MKT, dengan beberapa pemimpin tertinggi parti dijangka menghadap Sultan Johor, hari ini.


