JIM Kedah hantar 99 PATI pulang ke negara asal

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menghantar pulang seramai 99 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pelbagai warganegara ke negara asal masing-masing menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), semalam.

JIM Kedah dalam kenyataan berkata, semua PATI terbabit terdiri daripada 64 lelaki dan 35 wanita warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, China, Nepal, Vietnam, Pakistan dan India yang sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik.

“Kesemua tahanan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana memasuki negara ini tanpa pas atau permit sah selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Semua tahanan terbabit juga sudah selesai menjalani hukuman sebelum proses pemindahan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, semua PATI yang dihantar pulang memiliki dokumen perjalanan sah manakala sebahagian lagi dibekalkan Dokumen Perjalanan Sementara (Emergency Travel Document) yang dikeluarkan kedutaan negara masing-masing bagi melancarkan urusan penghantaran pulang.

Katanya, semua PATI terbabit turut disenarai hitam dalam sistem jabatan dan dilarang memasuki semula Malaysia bagi tempoh ditetapkan.

“Operasi pemindahan ini merupakan antara fokus utama Depot Tahanan Imigresen Belantik yang dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahanan yang selesai menjalani hukuman dihantar pulang segera ke negara asal.

“Ia selaras komitmen Jabatan Imigresen Malaysia dalam membanteras kebanjiran PATI di negara ini,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img