Tiga pegawai dan bekas pegawai bank didakwa terima wang suapan

TIGA pegawai dan bekas pegawai bank didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas pertuduhan pilihan gagal melaporkan rasuah berkaitan penyediaan dokumen perjanjian pembiayaan.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman terhadap dua bekas pegawai bank iaitu denda RM25,000 kepada Mohd Haikal Jamaludin, 41, manakala Amira Nabiela Mohamad Jamaruddin, 28, didenda sebanyak RM6,000.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Haikal dipenjara 30 bulan manakala Amira Nabiela selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lapor Harian Metro.

Berdasarkan lima pertuduhan pilihan, Mohd Haikal didakwa menerima suapan wang keseluruhan RM15,920 yang dimasukkan dalam akaun bank miliknya melalui seorang lelaki bagi sebuah firma guaman.

Ini sebagai upah mencadangkan firma guaman itu bagi penyediaan lima dokumen perjanjian pembiayaan perumahan dianggarkan RM2.46 juta. Kesalahan itu dilakukan di dua cawangan bank sama sekitar Petaling Jaya antara 14 April 2021 hingga 13 Januari 2022.

Amira Nabiela dituduh dengan satu pertuduhan menerima suapan wang RM3,201, juga dimasukkan dalam akaun banknya, sebagai upah bagi mencadangkan firma guaman lain bagi penyediaan dua pinjaman pembiayaan perumahan berjumlah keseluruhan RM924,387.20.

Kesalahan itu dilakukan di cawangan bank di Shah Alam pada 23 November 2021.

Kedua-dua tertuduh melanggar peruntukan Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu gagal melaporkan kepada pegawai SPRM atau polis berhubung penerimaan wang suapan tersebut

Tertuduh juga melanggar Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Mohd Haikal yang tidak diwakili peguam memaklumkan menanggung empat anak dan menjaga ibunya yang baru selesai menjalani pembedahan kanser tahap empat.

“Saya diberhentikan kerja pada November 2024 disebabkan cuti tanpa pengetahuan majikan susulan mempunyai penyakit darah tinggi, gout. Saya bertaubat dan hanya menyediakan RM5,000 sahaja,” katanya.

Amira Nabiela yang turut tidak diwakili peguam merayu dalam keadaan menangis dengan menyatakan sudah tidak lagi bekerja dengan mempunyai seorang anak berusia setahun selain perlu menanggung komitmen bulanan termasuk rumah, kereta dan pinjaman pendidikan.

“Saya juga menyara termasuk keperluan ubatan ibu bapa dan cuma membawa RM8,000 sahaja hari ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee dan Mohamad Taufik Awaludin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Sementara itu, seorang pegawai bank, Koh Wei Yeong, 37, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk pilihan berkaitan rasuah RM1,800 yang dimasukkan ke akaun bank milik isterinya daripada sebuah firma guaman lain.

Ia sebagai upah bagi mencadangkan firma guaman itu bagi penyediaan pinjaman pembiayaan berjumlah RM300,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan bank di Kelana Jaya pada 13 Mei 2020.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selvam T Armugom dan peguam, Paramjit Singh mewakili tertuduh yang dibenarkan jaminan RM8,000 dan sebutan semula pada 16 Disember ini.

Untuk rekod, ketiga-tiga mereka adalah antara 49 individu membabitkan pegawai serta bekas pegawai beberapa institusi perbankan yang ditahan menerusi Op Tiger dijalankan SPRM.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img