TIGA sekeluarga yang merupakan pejalan kaki maut selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen dalam kejadian di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 25 dan 12 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian di persimpangan lampu isyarat Maju Junction kira-kira 1 pagi itu.
Isterinya berusia 55 tahun yang turut dilanggar, cedera di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zamzuri Mohd Isa, berkata kejadian berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 43 tahun itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur ke Chow Kit untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (Pati).
Katanya, kenderaan itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.
“Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
“Pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan. Lori terbabit hilang kawalan dan melanggar empat pejalan kaki yang juga satu keluarga. Sebuah lagi kenderaan yang berhenti turut terlibat dalam kemalangan,” katanya dalam kenyataan.
Zamzuri berkata ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kita sudah menahan pemandu lori Jabatan Imigresen dan pemandu Proton Saga yang juga lelaki berusia 50 tahun untuk membantu siasatan.
“Ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu adalah negatif. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau meminta oramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya enghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





