AS jadi bahan jenaka akibat sikap tak masuk akal Trump

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sememangnya terkenal dengan pelbagai kenyataan dan cadangan geopolitik luar biasa yang sering dianggap “tidak masuk akal” atau pelik oleh penganalisis antarabangsa dan media global.

Kenyataan terbaharu beliau mengenai Selat Hormuz adalah antara tindakan tidak masuk akal yang dilakukan oleh Presiden AS  itu sehingga ia menjadi bahan jenaka di dalam media sosial di seluruh dunia.

 Trump mendakwa mendakwa beliau akan mengisytiharkan Selat Hormuz — laluan perdagangan minyak paling kritikal di dunia yang terletak di antara Iran dan Oman — sebagai “Wilayah Baharu AS”.

Dalam keadaan yang mungkin dipengaruhi ‘ilusi tertinggi’, lelaki berusia 80 tahun itu  turut memuat naik sekeping gambar peta di platform Truth Social yang membulatkan Selat Hormuz dan melabelkannya sebagai wilayah Amerika.

Apa yang dilakukan oleh Trump itu dianggap tidak masuk akal kerana  dari segi undang-undang antarabangsa (UNCLOS), adalah mustahil untuk sebuah negara sewenang-wenangnya menuntut laluan air antarabangsa yang dikawal oleh kedaulatan negara lain (Iran dan Oman) sebagai wilayah domestiknya.

Untuk menutup malu akibat kejahilan Trump,  pegawai Rumah Putih kemudiannya mendakwa kenyataan itu sekadar “gurauan” (joke) untuk menyakitkan hati pihak musuh, namun ia tetap mencetuskan ketegangan geopolitik yang besar.

Apatah lagi Trump berulang kali mengancam untuk menuntut kedaulatan ke atas laluan perairan penting bagi tenaga dunia itu, ketika perang Iran yang memasuki hampir enam bulan masih berlarutan tanpa menunjukkan tanda penyelesaian.

Ia bukan kali pertama Trump membuat  kenyataan tidak masuk akal, sebelum ini beliau turut membuat beberapa pengumuman yang dianggap aneh. Antaranya:

  • Mahu Membeli Greenland daripada Denmark (2019). Kenyatan itu dibuat semasa penggal penggal pertama beliau sebagai Presiden.

Trump secara terbuka menyatakan minat yang serius untuk membeli pulau Greenland daripada kerajaan Denmark.

Lanjutan itu Kerajaan Denmark dan pemimpin Greenland menolak idea tersebut mentah-mentah dan menyifatkannya sebagai “mengarut”.

Trump yang berang kemudiannya membatalkan lawatan diplomatik rasmi ke Denmark ekoran keengganan mereka melayan cadangan tersebut.

  • Cadangan Menjadikan Kanada sebagai Negeri ke-51 AS.

Trump yang dilihat Presiden AS ‘paling suka bergaduh’ melakukan ancaman perdagangan dan isu sempadan selepas kembali berkuasa pada tahun 2025.

Beliau dilaporkan pernah mencadangkan agar Kanada diserap menjadi negeri ke-51 AS sekiranya mereka tidak dapat memenuhi tuntutan tarif dan keselamatan sempadan yang ditetapkan oleh AS.

  • Menembak Taufan Menggunakan Bom Nuklear.

Tidak cukup bergaduh dengan manusia, Trump juga ‘mahu berperang’ dengan alam’ apabila dilaporkan beberapa kali mencadangkan kepada pegawai keselamatan kanan AS agar menyiasat kemungkinan menembak bom nuklear ke dalam pusat taufan (sebelum membadai daratan AS) bagi memusnahkan pusaran angin tersebut.

Ahli sains meteorologi dan keselamatan nuklear menegaskan tindakan itu bukan sahaja tidak akan menghentikan taufan, malah akan menyebarkan sisa radioaktif berbahaya ke seluruh dunia melalui angin taufan tersebut.

  • Cadangan Mengambil Alih Semenanjung Gaza.

Di tengah-tengah konflik geopolitik di Asia Barat, Trump juga pernah memberikan bayangan atau cadangan tidak rasmi bahawa AS boleh mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas Semenanjung Gaza bagi menyelesaikan krisis wilayah tersebut.

Sebenarnya kalau dikaji apa yang berlaku di Gaza hari ini, Trump bukannya mahu AS mengambil alih wilayah itu tetapi sebenarnya mahu menjadikan Gaza sebagai salah satu wilayah Israel.

Atas sebab itulah sehingga ke hari ini Israel terus mengganas di Gaza. Perjanjian Damai yang dicetuskan oleh Trump sebelum ini dan disokong oleh beberapa pemimpin negara Islam hanyalah helah Presiden AS itu bagi membolehkan Israel terus menjajah Gaza.

  • Menukar Peta Cuaca Menggunakan Pen Marker (2019.

Apabila ramalan rasmi menunjukkan Taufan Dorian tidak akan melanda negeri Alabama, Trump — yang tersilap mendakwa Alabama dalam bahaya — telah membentangkan peta ramalan cuaca rasmi yang diubah suai secara manual menggunakan pen marker hitam untuk menunjukkan Alabama termasuk dalam laluan taufan.

Insiden yang digelar “Sharpiegate” ini dianggap lucu dan tidak masuk akal kerana memalsukan data meteorologi rasmi kerajaan demi mempertahankan kesilapan kenyataan beliau sendiri.

Kesimpulannya, AS mempunyai 342.7 juta rakyat dan merupakan kuasa besar tetapi malangnya mereka diperintah oleh seorang individiu yang ‘bermasalah’, ‘suka mencipta masalah’ dan ‘mencari masalah’ .

Benarlah slogan Trump ‘Make America Great Again’ (Jadikan Amerika Hebat Semula)….Memang hebat…jadi bahan jenaka dunia!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here