TIGA warga Pakistan masing-masing dihukum penjara enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini selepas mengaku bersalah menguruskan premis perjudian dalam talian, awal bulan ini.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman terhadap Ali Raza, 23, Muhammad Azhar, 21, dan Mian Hamid Ali, 23, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya mereka gagal membayar denda, selain menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh ketiga-tiga tertuduh ditangkap.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama lima individu lain yang masih bebas didakwa membantu menguruskan sebuah premis di tingkat dua, Aman Square, di sini, sebagai rumah perjudian terbuka bagi kegiatan perjudian dalam talian.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 12.25 tengah malam, 2 November lalu, lapor BH.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Selain itu, denda tambahan antara RM5,000 hingga RM50,000 boleh dikenakan bagi setiap mesin perjudian yang disita.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor R Sivakumar, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.





