SEORANG anggota polis maut manakala empat lagi cedera selepas van polis yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 351.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Tapah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, mayat anggota polis yang maut serta mangsa cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 pagi dengan maklumat awal mengesahkan seorang anggota maut, manakala sekurang-kurangnya empat lagi cedera.
Difahamkan, van berkenaan membawa 10 anggota polis termasuk pemandu dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Video kejadian itu turut tular di media sosial memaparkan van polis berkenaan berada di bahu kiri jalan.
Rakaman itu turut menunjukkan satu mayat berhampiran pembahagi jalan, manakala empat anggota polis lain terbaring dalam keadaan cedera di lokasi kejadian.
Sementara itu, PLUS menerusi hantaran di akaun X memaklumkan kesesakan trafik sepanjang kira-kira tujuh kilometer berlaku susulan kemalangan berkenaan di laluan antara Bidor dan Sungkai.
Sehingga jam 1.21 tengah hari, hanya lorong kecemasan masih ditutup, manakala lorong lain dibuka kepada pengguna jalan raya.
PLUS turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan dan berhati-hati ketika melalui laluan terjejas.





