MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya dalam permohonan bantahan awal berhubung sekatan dua akaun TikTok milik Ketua Armada Bersatu Selangor, Na’im Brundage, tiga tahun lalu.
Ia membabitkan permohonan Na’im bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman membabitkan isu berkenaan.
Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Fahmi dan empat pihak lain dengan mendapati keputusan menyekat akaun berkenaan dibuat oleh TikTok dan bukannya MCMC.
Selain Fahmi dan suruhanjaya, turut dinamakan sebagai pemohon dalam bantahan awal berkenaan ialah Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, Pengerusi MCMC dan Kerajaan Malaysia, lapor Sinar Harian.
Semasa membaca keputusan, Norliza berkata, surat Na’im bertarikh 23 Mac 2024 kepada MCMC menunjukkan beliau menyedari akaunnya telah disekat dan cuba mendapatkan penjelasan daripada aplikasi itu, namun tidak menerima jawapan.
Katanya, Na’im mengesyaki tindakan berkenaan telah dipengaruhi atau dikuatkuasakan secara langsung oleh MCMC.
Norliza berkata, pihak berkenaan menyatakan, hanya mencetuskan tindakan pentadbiran dengan memaklumkan TikTok mengenai pelanggaran garis panduan komuniti oleh pemohon sehingga membawa kepada tindakan menyekat akaun tersebut.
Bagaimanapun katanya, mahkamah melihat isu itu sebagai asas untuk membatalkan tindakan tanpa sebab.
Katanya, keputusan pentadbiran berkenaan bukan suatu keputusan yang terdedah kepada semakan kehakiman oleh mahkamah.
“Permohonan semakan yang difailkan pemohon atas andaian bahawa MCMC telah mengarahkan TikTok untuk mengharamkan atau menapis akaun pemohon tidak boleh berjaya dalam semakan kehakiman.
“Walaupun ambang kebenaran untuk semakan kehakiman jauh lebih rendah, namun jika dapat ditunjukkan bahawa pemohon tidak mampu mengemukakan kes yang boleh dipertikaikan pada peringkat substantif, permohonan itu harus ditolak,” katanya.
Beliau berkata, MCMC hanya menjalankan tindakan pentadbiran dengan mengeluarkan surat kepada TikTok dan tindakan berkenaan tidak terdedah kepada semakan kehakiman.
Menurutnya, ia bukan suatu keputusan yang lazimnya menjadi asas bagi permohonan kebenaran di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Pada 2023, Na’im mendapati dua akaun TikTok miliknya telah disekat, lalu beliau memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun 2024 terhadap lima pihak berkenaan selaku responden pertama hingga kelima.
Na’im mahu mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan menyekat kedua-dua akaun tersebut.
Berdasarkan afidavit sokongan, beliau berkata, dua akaun media sosial berkenaan merupakan medium untuk meluahkan pandangan serta pendapatnya mengenai isu semasa.
Tiga pihak berkenaan kemudian memfailkan bantahan awal berhubung permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman oleh Na’im.
Dalam prosiding bantahan awal tersebut, Na’im diwakili peguam Latheefa Koya sementara MCMC dihadiri peguam A Ruebankumar manakala menteri dan Kerajaan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ainna Sherina Saipolamin.
Ketika ditemui media, Latheefa memberitahu, anak guamnya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Sementara itu, Ruebankumar berkata, susulan keputusan berkenaan, permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman telah ditolak.





