POLIS telah merakam keterangan lebih 10 individu setakat ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang penuntut kolej yang ditemui dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, individu yang dipanggil termasuk ahli keluarga mangsa, rakan serumah serta saksi kejadian.
“Sehingga kini siasatan masih berjalan dan kita dalam proses melengkapkan kertas siasatan.
“Malah, motif utama kejadian masih belum dapat disahkan dan sedang dalam penelitian,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, setakat ini pihak polis menganggap kes berkenaan selesai dari segi tangkapan selepas seorang suspek remaja lelaki berusia 19 tahun diberkas.
“Tiada lagi tangkapan lain selepas ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan.
Mangsa pada awalnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.


