TINDAKAN lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis daripada Bersatu menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar terus ‘memanaskan’ hubungan parti itu dengan Pas.
Ia berikutan kenyataan terbaru Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan, tindakan kelima-lima ADUN tidak boleh diterima dan wajar dibincangkan dalam majlis tertinggi gabungan itu.
Bercakap kepada portal berita FMT, Tuan Ibrahim berkata sebagai rakan politik, tindakan menarik balik sokongan terhadap Shukri tidak menambah kebaikan kepada PN.
“Sebagai parti yang mempunyai majoriti dalam DUN Perlis, kepimpinan sewajarnya datang dari parti yang memiliki majoriti bagi menjamin kestabilan dan keharmonian. Pas mendokong keharmonian dan kestabilan demi rakyat Perlis,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada lima Adun Bersatu di Perlis untuk menarik balik sokongan terhadap Shukri.
Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon menteri besar daripada parti itu selepas menerima titah daripada Istana Perlis.
Muhyiddin berkata Bersatu akan mendengar penjelasan daripada ADUN partiitu di Perlis bagi memastikan fakta sebenar perkara tersebut.
Pada Khamis lalu, Tuan Ibrahim berkata, beliau berharap Bersatu turut mengambil tindakan tegas terhadap ADUN mereka yang terlibat menandatangani akuan berkanun sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis.
Kemelut politik di negeri itu tercetus apabila lapan ADUN termasuk tiga daripada Pas menandatangani akuan berkanun menarik sokongan terhadap Shukri sebagai Menteri Besar. Lanjutan itu Pas bertindak menggugurkan keahlian ketiga-tiga ADUN tersebut.
Tiga ADUN itu ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Lima ADUN Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).


