`Tindakan terhadap pengamal media perlu rujuk Majlis Media Malaysia’ – PM

SEBARANG tindakan terhadap mana-mana wartawan dan organisasi media berdaftar tidak boleh diambil secara sewenang-wenangnya kerana ia perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Media Malaysia (MMM) yang dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, mekanisme itu diwujudkan bagi memastikan sebarang bentuk tindakan terhadap pengamal media dibuat secara lebih teliti dan objektif.

Beliau berkata, mekanisme itu antara lain mengelak mana-mana wartawan atau organisasi media berdaftar diheret ke dalam siasatan atau pendakwaan, tanpa penelitian sewajarnya.

“Tidak ada undang-undang di dunia yang beri kebebasan mutlak kepada semua media untuk menyatakan apa-apa sahaja. Perdana Menteri (mahu pun) pengamal media (masing-masing masih) terikat dengan undang-undang.

“Tetapi saya setuju… jangan mengheret wartawan dengan mudah dalam kes yang difikir (mengkritik) jabatan kerajaan. Sebab itu sekarang adanya MMM (bagi memudahkan urusan) kerana kalau ada keterlanjuran di pihak media, ia akan dirujuk ke MMM (tetapi) tidak secara automatik didakwa atau disiasat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai beberapa perundangan sedia ada seolah-olah menyekat kebebasan media yang turut mempengaruhi kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia.

Bagaimanapun, beliau berkata, rujukan ke MMM tidak membabitkan pendirian peribadi mana-mana individu, pandangan parti politik dan pihak yang tidak menganggotai majlis berkenaan.

“MMM ini diwujudkan bagi memudahkan (hubungan antara kerajaan dan industri media) tetapi ia hanya bagi akaun yang tetap atau syarikat tertentu bukannya pendirian perseorangan, pandangan parti mahupun bukan anggota Majlis Media.

“Tetapi bagi wartawan dari (agensi) media yang wujud ini, dia tidak automatik didakwa atau disiasat kerana proses sekarang ini harus rujuk kepada MMM, sebelum diambil apa-apa tindakan.

“Jadi saya ingat (fikir) ini adalah kawalan yang sangat baik dan sudah dipersetujui di Parlimen ini,” kata Perdana Menteri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img