PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat untuk menolak politik kebencian dan memperkukuh semangat perpaduan berasaskan nilai kemanusiaan serta keharmonian antara agama.
Menurut beliau, Malaysia sejak awal penubuhannya dibina atas asas perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan utama negara berbilang kaum dan agama ini.
Katanya, konsep Malaysia MADANI bukan gagasan baharu, sebaliknya kesinambungan kepada cita-cita negara yang menekankan sikap saling menghormati dan memuliakan kepelbagaian masyarakat.
“Kalau ada pun perbezaan, ia adalah perbezaan untuk memberi makna dan kefahaman yang lebih baik.
“Nilai seperti belas ihsan, kasih sayang dan hormat sesama manusia semakin terhakis di banyak negara akibat kecenderungan politik yang hanya mementingkan kepentingan praktikal serta kuasa.
“Namun, dalam semua agama termasuk Islam dan Buddha mengajar nilai keamanan, kasih sayang dan belas kasihan, namun mesej itu sering tenggelam akibat sentimen kebencian yang dimainkan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Wacana Harmoni MADANI Sempena Sambutan Hari Wesak di Menara KEN TTDI di Petaling Jaya hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Anwar dalam pada itu mengkritik pihak yang menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menimbulkan rasa takut serta permusuhan dalam masyarakat walaupun mereka sebenarnya golongan minoriti.
“Majoriti rakyat Malaysia yang sederhana dan cintakan keamanan perlu tampil bersuara mempertahankan perpaduan negara daripada dikuasai kelompok ekstrem.
“Sudah sampai masanya majoriti rakyat bersuara dari hati nurani mereka untuk menyelamatkan negara dan memajukan semua rakyat bersama,” katanya.
Dalam masa yang sama, Anwar menegaskan kerajaan akan terus membantu Bumiputera yang memerlukan, namun pada masa sama tidak boleh meminggirkan mana-mana rakyat miskin tanpa mengira kaum.
“Selepas hampir 70 tahun merdeka, pendekatan membantu rakyat perlu berubah daripada berasaskan pemisahan kaum kepada semangat ihsan dan kebersamaan sebagai satu keluarga besar Malaysia.
“Kerajaan ketika ini bekerja keras menangani cabaran ekonomi termasuk kesan perang global, meningkatkan pelaburan, memperkukuh pendidikan serta menjana peluang pekerjaan demi kesejahteraan rakyat.
“Malaysia sudah membuktikan negara berbilang kaum dan agama mampu terus kekal aman dan stabil sejak merdeka hasil komitmen pemimpin serta rakyat yang memilih perpaduan berbanding perpecahan. Itulah yang menjadikan Malaysia unik,” katanya.


