Tragedi berteduh daripada hujan, penunggang motosikal maut digilis treler

TINDAKAN dua penunggang motosikal berteduh daripada hujan di bawah jejambat Lebuhraya Utara-Selatan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas digilis dan diseret sebuah treler, tengah malam tadi.

Dalam kejadian di Kilometer 96.2 lebuh raya itu arah selatan dekat Sungai Petani, mangsa, Mohd Khairul A’zami Mohd Nazeri, 23, dari Kampung Permatang Kong, Mukim Padang Hang, Alor Setar, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi penunggang motosikal berusia 23 tahun yang berasal dari kampung sama mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Sungai Petani menggunakan lorong kiri.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai cuba memberhentikan motosikal masing-masing di bawah jejambat bagi mengelak hujan.

“Ketika cuba mengelak sebuah motosikal lain yang turut berhenti untuk berteduh di bawah jejambat itu, kedua-dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR berkenaan bergesel sesama sendiri sebelum terkena bahagian sisi sebuah treler di lorong sama.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua penunggang tercampak ke bawah bahagian tengah treler sebelum digilis dan diseret,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata, pemandu treler berusia 40 tahun dari Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Mayat mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, pemandu treler turut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuala Muda untuk menjalani ujian saringan awal air kencing yang mendapati lelaki itu negatif dadah.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here