Pemuda maut motosikal terbabas ke Sungai Sekakap

SEORANG pemuda berusia 19 tahun ditemukan maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke Sungai Sekakap di Jalan Sekakap, Seri Pantai di Mersing malam tadi.

Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat pada jam 7.50 pagi tadi, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.15 malam sebelum operasi pencarian dimulakan.

“Kejadian disahkan. Pencarian dimulakan malam tadi di lokasi dan mayat ditemukan jam 7.50 pagi ini,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Mohd Alias Hussin berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.26 malam.

Menurutnya, anggota bomba kemudian digerakkan ke lokasi berhampiran sebuah kolam udang di Jalan Sekakap bagi menjalankan operasi mencari mangsa yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai.

“Pihak kami turut mendapatkan bantuan tambahan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai yang tiba di lokasi pada jam 2.41 pagi.

“Mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir dia dilihat sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kejadian itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial selepas seorang individu dipercayai ahli keluarga mangsa membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok sepanjang operasi SAR dijalankan.

Turut tersebar di media sosial ialah gambar dan nama mangsa yang dikenal pasti sebagai Ahmad Danish Zaquan Ahmad ‘Yazir, dipercayai berasal dari Pasir Gudang dan merupakan pelajar GiatMara Mersing.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here