Trend ubah suai motosikal ekstrem : JPJ akan dakwa penunggang di mahkamah

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan pendakwaan terhadap penunggang motosikal yang melakukan pengubahsuaian secara ekstrem di mahkamah susulan peningkatan trend berkenaan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, setakat ini tiga kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mendapat izin dakwa daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya, tindakan itu merupakan pendekatan baharu JPJ yang sebelum ini lebih tertumpu kepada penguatkuasaan seperti mengeluarkan saman dan menyita kenderaan.

“Kami telah mengesan penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dan melulu… yang paling mendukacitakan dan paling membahayakan ialah penunggang motosikal ini terus menanggalkan ataupun membuang brek belakang.

“Jadi bayangkan motosikal tersebut bergerak dalam keadaan tiada brek. Mana-mana motosikal yang membuat pengubahsuaian secara ekstrem, kami akan sita dan kami akan dakwa penunggang motosikal terbabit,” katanya pada sidang media Ops Motosikal (Ekstrem) di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Kifli berkata, lebih 300 motosikal yang diubah suai secara ekstrem sudah disita sejak awal tahun ini dengan Kuala Lumpur merekodkan jumlah sitaan tertinggi.

Katanya, antara pengubahsuaian yang sering dikesan termasuk penggunaan tayar sotong, pertukaran enjin tanpa kebenaran, pemasangan swing arm panjang, pengubahsuaian atau pemadaman sistem unit kawalan elektronik (ECU) serta penanggalan brek belakang.

“JPJ memandang serius trend pengubahsuaian motosikal secara ekstrem yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan kerana boleh menjejaskan ciri keselamatan asal kenderaan serta meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

“Golongan yang terlibat kebanyakannya terdiri daripada belia berumur antara 18 hingga 30 tahun, namun terdapat juga kes membabitkan pelajar sekolah seawal usia 12 tahun,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh operasi, beliau berkata, pasukan khas Team Falcon melaksanakan penguatkuasaan setiap minggu bagi mengesan motosikal yang diubah suai secara ekstrem serta penunggang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 APJ 1987.

Berdasarkan pangkalan data JPJ, sebanyak 848,885 notis JPJ(P)22 dikeluarkan kepada penunggang motosikal bagi pelbagai kesalahan pada 2024, diikuti 711,722 notis pada 2025 dan 252,118 notis setakat Mei tahun ini.

Muhammad Kifli berkata, sebanyak 38,959 motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 kerana melanggar peruntukan undang-undang sejak 2021 hingga tahun ini.

Mengulas tindakan terhadap pemilik motosikal, beliau berkata, saman akan dikeluarkan bukan sahaja kepada penunggang malah pemilik berdaftar termasuk ibu bapa sekiranya kenderaan itu didaftarkan atas nama mereka.

Mengenai kemungkinan tindakan terhadap bengkel yang melakukan pengubahsuaian motosikal secara haram, beliau berkata, JPJ sedang meneliti aspek perundangan dan akan menjalankan kajian lanjut sebelum membuat sebarang pengumuman.

Katanya, JPJ turut akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan komponen yang digunakan mematuhi peraturan ditetapkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here