BEKAS Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Suriani Ahmad dilantik sebagai KSU di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkuat kuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata, beliau yakin dengan kompetensi dan pengalaman yang dimiliki oleh Suriani selain memgucapkan tahniah atas pelantikan tersebut.
“Beliau mampu memacu kecemerlangan KKDW dalam pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar berteraskan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam untuk mencapai aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Shamsul Azri berkata, Suriani, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Strategi dan Diplomasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut beliau, Suriani berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, dasar awam dan hubungan antarabangsa, selain pernah menyandang beberapa jawatan penting.
Antaranya sebagai KSU di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta yang terakhir di Kementerian Kesihatan.


