Ubah pendidikan konvensional, kuasai bidang AI, teknologi kuantum – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, Malaysia tidak boleh menunggu perubahan sistem dan kurikulum pendidikan untuk memperkenalkan bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum.

Perdana Menteri berkata, pendekatan pendidikan konvensional perlu diubah bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam menguasai teknologi baharu yang berkembang pesat.

“Kalau kita tunggu semua baru nak perkenalkan komputer, orang dah AI dah, quantum computing (pengkomputeran kuantum), jadi tidak boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara hari ini.

Perdana Menteri berkata, universiti kini turut pantas menyahut saranan apabila beberapa fakulti AI berjaya diwujudkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan, selepas penekanan diberikan terhadap keperluan bidang berkenaan.

Justeru menurut Anwar, perkembangan sama perlu diterapkan dalam usaha memperluas pemahaman sains, teknologi dan inovasi yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada masyarakat.

Kata beliau, kepakaran saintis dan penyelidik tidak seharusnya hanya tertumpu di institusi penyelidikan, sebaliknya perlu dibawa ke institusi pendidikan di seluruh negara.

“Bayangkan seorang pakar dalam bidang bioteknologi turun ke Sekolah Menengah Gua Musang dengan sendirinya dia (pelajar) tertarik.

“Itu (penglibatan) lebih berkesan daripada pendekatan biasa melalui teori-teori,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anwar mahu sinergi antara badan penyelidikan kerajaan, universiti, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta diperkukuh bagi memastikan kemampuan serta dana penyelidikan dimanfaatkan dengan lebih berkesan.

Kerjasama itu penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan dalam pembiayaan penyelidikan serta memastikan hasil inovasi tidak terhenti di peringkat kajian.

Sementara itu, NICE 2026 yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan lebih 8,000 peserta dan pengunjung, selain menampilkan lebih 180 pameran inovasi dan teknologi serta lebih 70 penceramah, pakar industri dan pemimpin pemikiran dari dalam dan luar negara.

Ekspo itu merangkumi persidangan, dialog strategik, pameran teknologi, sesi padanan perniagaan, libat urus pelaburan dan jaringan profesional dengan enam bidang tumpuan utama iaitu Industri Maju dan Masa Hadapan, Teknologi Kesihatan (HealthTech), Bioekonomi, Teknologi Mendalam (DeepTech), Pengkomersialan dan Akses Pasaran.

Secara keseluruhan, NICE 2026 turut menyaksikan 18 memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) dan kerjasama strategik bernilai RM157.2 juta.

Ia meliputi perluasan pasaran, pembuatan termaju, teknologi kesihatan, transformasi digital, kerjasama penyelidikan serta penerima gunaan teknologi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here