PERINTAH tahanan reman terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) disambung empat hari lagi bagi membantu siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyambung reman terhadap suspek sehingga 31 Ogos depan.
Terdahulu, individu berusia lingkungan 60-an yang memakai pakaian lokap warna jingga dan bergari itu, tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada jam 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM.
Bekas CEO terbabit dibawa bersama dua lagi individu iaitu bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang ditahan SPRM semalam dan dibawa untuk permohonan reman di mahkamah sama.
Media pada 21 Ogos lalu melaporkan bekas CEO terbabit direman selama tujuh hari hingga hari ini.
Laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun disiapkan, mengemukakan 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme, dan tadbir urus institusi terbabit.
Antara syor utama yang terkandung dalam laporan RCI terbabit ialah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.
Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung laporan RCI TH itu dijalankan ‘hingga ke lubang cacing’.





