DUA pemuda berputih mata apabila motosikal yang diubah suai secara ekstrem disita dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Pengkalan Rama, Melaka, Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, dalam operasi itu hampir 20 penunggang motosikal dikesan cuba meloloskan diri sebaik menyedari sekatan jalan raya dijalankan.
Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai dalam perjalanan ke arah Klebang sebelum bertindak membuat pusingan U secara berbahaya.
“Tindakan itu memakan diri apabila seorang penunggang terjatuh kira-kira 50 meter dari lokasi sekatan selepas gagal mengawal motosikalnya.
“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal tersebut tidak mempunyai brek belakang, sekali gus membahayakan penunggang dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati motosikal berkenaan tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah serta tiada perlindungan insurans.
Dalam operasi sama, sebuah lagi motosikal turut disita kerana melakukan pelbagai kesalahan teknikal serius termasuk pengubahsuaian ekstrem seperti fork hadapan direndahkan, penggunaan ekzos bising serta ketiadaan komponen keselamatan seperti pelindung lumpur, penutup rantai, lampu isyarat dan brek.
Katanya, kedua-dua motosikal itu juga menggunakan tayar kecil yang tidak sesuai selain gagal mempamerkan nombor pendaftaran di hadapan dan belakang.
Susulan itu, JPJ mengeluarkan 12 saman atas kesalahan LKM tamat tempoh, tiada insurans serta lesen memandu tamat tempoh, selain sembilan saman teknikal mengikut peraturan ditetapkan.
“Operasi akan terus dipergiat bagi mengekang kegiatan ubah suai motosikal secara melampau yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.


